Ini cerita seekor
kerang...Cerita pengajaran...Cerita sastera...Cerita kita.
Seekor makhluk Allah yang hidup dalam dunianya yang tersendiri. Begitu sukar
ditafsir oleh pancaindera manusia. Kehidupannya sama seperti kita; seandainya
kita adalah kerang.
Angin taufan yang melanda
pantai laut Mediteranean,bulan itu amat kuat sehingga meniupkan tiupan angin
yang bukan kepalang, lalu angin itu ditafsir menjadi gulungan ombak yang
menggila sepanjang pantai. Ia takut, risau dengan keselamatannya. Lantas ia
tetap menyorok dalam cengkerangnya. Lama ia begitu, biarpun kelaparan tetap
bertahan. Tanpa melihat keluar walau sejenak pun. Adakalanya ia bergolek-golek;
dek kerana hempasan ombak setinggi langit baginya. Lalu ia berdoa, semoga tetap
bertahan.
Kembali muhasabah erti sebuah kehidupan. Terkenang ia akan sebulan yang lalu,
pantai itu begitu tenang. Pantai yang terletak di salah sebuah daerah Mesir;
Dumyat. Keriangan petang itu bersama rakan-rakannya yang lain masih terasa
hingga kini. Tika itu, seluruh ahli keluarganya berkumpul bersama-sama, makan
bersama-sama dan gelak ketawa silih berganti. Alangkah riangnya hati. Semua
kerang membuka luas cangkerangnya, begitu banyak makanan yang dapat diperoleh.
Dia dapat melihat seluruh dunianya; dunia terumbu karang.
Namun kini, segalanya berubah. Ingatkan panas hingga ke petang, namun hujan di
tengah hari. Pernah sekali ia cuba melihat keluar dalam ngauman ombak tatkala
itu. Astaghfirullah... Segala-galanya hancur, mati dan binasa. matanya terpaku
kepada sekujur cangkerang; seolah biasa melihatnya. "Maak!.." Itu
sahaja kalimah yang terlafaz pada mulutnya. Dalam linangan air mata ia cuba
mendekati tubuh itu. Mati. Tiada apa yang boleh diusahakan. Dia lantas menoleh
ke sekelilingnya, segala-galanya hancur! cengkerang siput, kerang dan ketam
bergelimpangan di sana-sini. Ia amat takut, trauma melihatnya. Dia lantas pergi
dari situ, meninggalkan sekujur tubuh kaku insan tercinta.
Tiba-tiba ia terlihat seekor kerang yang masih teguh cengkerangnya, cantik,
indah. Ia cuba mendekati perlahan-lahan, dengan harapan menemukan kerang hidup
yang lain. Ombak menghempas lagi. Cepat-cepat ia masuk ke dalam
perlindungannya. Setelah reda ia cuba membuka kembali pintu cangkerangnya.
"Ya Allah!..." Alangkah terkejutnya ia, kerang tadi yang begitu indah
luarannya terbuka luas mulutnya. Hanyir dan busuk. Kelihatan beberapa ekor ulat
sedang memamah jasadnya. Ulat itu menggelitik-gelitik. Menggelikan, matanya
melihat, otaknya mentafsir lalu meghasilkan satu emosi yang kurang
menyenangkan. Ia mual dan termuntah di situ. Kerang itu sedih dan duka. hatinya
benar-benar menangis, pilu mengenangkan nasib diri. Lalu atas tikar kesedihan
itu ia bermunajat kepada Ilahi. Biar betapa kuat ombak menghempas, ia tetap
bertahan. Ya tetap bertahan dalam cengkerangnya.
Begitulah juga
kehidupan seorang manusia wahai sahabatku. Kita ini ibarat kerang. Dunia kita
ialah pantai. Adakalanya arus laut terlalu tenang, indah, senang dan perlahan.
Lantas kita lupa, kita alpa dengan kesenangan yang hanya sementara. Kita juga
lupa bahawa kita hanyalah kerang yang lemah, menumpang dalam pentas kehidupan.
Sungguh, zaman remaja kita amatlah hebat ombak cabarannya wahai sahabatku,
walaupun kita tidak menyedari hakikat ini. Fenomena-fenomea kebejatan sosial
dan kehancuran akhlak adakalanya tidak disedari oleh kita.
Jarum-jarum thaghut telah mencucuk hati kita melalui media-media, majalah,
surat khabar dan internet. Maka ramai yang hatinya mati, seperti matinya
kerang-kerang, siput-siput dan ketam-ketam dalam kisah di atas. Hanyalah
bahtera iman yang akan melayarkan kita ke destinasi yang abadi. Perkasakanlah
iman dengan al-Quran dan solat malam. Sentiasa berdamping dengan Quran, kerana
ia akan menyalakan semangat perjuangan. Manakala solat malam (qiamullail) akan
memantapkan hati, meneguhkan jiwa dan melancarkan lidah.
Adakalanya kita perlu beruzlah (mengasingkan
diri) dalam cangkerang keimanan kita. Ombak di luar sana amat hebat
sahabatku. Berlindunglah dalam cangkerang keimananmu. Semoga hati kita sentiasa
bersih dan suci. Kerang itu masih di situ. Berteleku dalam munajatnya di
hadapan wajah Tuhan. Kerang itu teguh dan kuat, tatkala yang lain kalah, ia
dapat bertahan. Kisah kerang; analogi kehidupan insan. Ada yang kalah dan mati,
ada yang hidup dan tetap bertahan. Sekiranya seekor kerang dapat bertahan di
pantai ombak ganas yang membinasakan, mampukah kita bertahan dalam arus dunia
keremajaan?..
No comments:
Post a Comment