Photobucket

Saturday, 1 September 2012

~Ahlein Tetamu Dataran Syam~



CINTA & IMPIAN

Tika kaki mula melangkah,
Meninggalkan bumi ibunda tercinta,
Hatiku seakan-akan tewas,
Lidah lembut seakan-akan kelu,
Untuk ku lafazkan,
"Selamat tinggal semua".


Kerna dia ibuku,
Dia ayahku,
Dia adikku,
Dia sahabatku.

Mengapa saat ini,
Jiwaku diterjah rasa sayang yang tak terkata,
Seakan pemergian ini buat selamanya.

Wajah tua itu,
Melambaikan tangan kepadaku,
Tangan tua yang keras bekerja membesarkan aku,
Tangan itulah,
Yang dulunya pernah mendodoikan aku,
Tangan itu jugalah suatu masa dulu,
Tegas mendidik dan mengajar aku akan erti hidup ini.

Ku tempa saat ini di memoriku,
Agar bisa menjadi inspirasi,
Akan ku genggamnya bersama impianku,
Sebagai penguat saat lemahku.

Aku tetap menyayangimu,
Walau jarak ini memisahkan, 

Tiada apa yang dapat meleraikannya,
Meskipun nyawa dipertaruhkan.

Ayah...
Ibu...
Aku akan pulang nanti,
Bersama segulung kejayaan,
Biasan kasihku ini hanya untukmu.

Ya Allah,
Demi agamaMU,
Akan ku teruskan langkahku ini,
Kerna ku yakin,
Inilah jalan menuju redhaMU...



*Nukilan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) '12/'13

 - Akhi Kailani Zahari

"PERMATA KITA, SUARA KITA, KELUARGA KITA"



Thursday, 26 July 2012

~Murabbi tegar~

Tatkala hati dipenuhi noda,
Sedang jasad dilumuri dosa,
Tambahan khilaf menyelubungi jiwa,
Bagai tersentap iman yang alpa,
Dengan kehadiran tetamu yang dimuliakan-Nya,
Untuk menyucikan segala rasa si pendosa.

Kedatanganmu membawa seribu satu warna,
Menyerikan kehidupan yang mengejar maghfirah-Nya,
Kebaikan yang dilakukan bertambah kali ganda,
Pintu-pintu firdausi terbuka luas buat yang mendambakannya,
Lubang-lubang jahanam tertutup rapat buat yang menggeruninya,
Maka terbelenggulah si durhaka yang durjana dalam rantaian Pengazabnya.

Sungguh beruntung insan yang terpilih berada dalam madrasahnya,
Sentiasa berada dalam kerahmatan dan pengampunan Sang Pencipta,
Terlepas daripada azab neraka yang haus akan bahan bakarnya,
Dijanjikan pula sebuah syurga ar-Rayyan istimewa buat yang berpuasa,
Dijadikan bau mulut sang saum indah bak kasturi harumnya,
Maka nikmat apa lagi yang kamu dusta akannya.


Engkau merupakan murabbi tegar yang mendidik hamba-Nya,
Supaya segera kembali mengabdikan diri kepada yang Esa,
Dengan memaknakan setiap perlakuan hanya untuk menggapai redha-Nya,
Kerana kedatanganmu bukan sekadar manusia rancak memusimkan agama,
Bukan juga hanya sekadar menahan lapar dan dahaga,
Bahkan piala taqwa itu yang mesti diraih pada penghujung nantinya.

Akan sampai suatu saat engkau pergi meninggalkan umat-Nya,
Maka ketika itu telah berjayalah insan yang melepasinya,
Iaitu mereka yang kembali kepada fitrah penciptaan lalu thabat dengannya,
Suci daripada segala karat jahiliyah yang merantai batinnya,
Maka tersenyumlah iman di dalam jiwa,
Atas kemenangan hakiki dalam merangkul Ramadhan yang mulia.


26072012
10.00 pm




*Diharapkan belum terlambat untuk ana ucapkan Selamat menjalani Ramadhan Kareem buat sahabat2 di Jordan(puasa sehari lebih awal daripada Msia) dan tidak dilupakan juga buat keluarga dan sahabat2 di Malaysia, serta kepada seluruh umat Islam sedunia ^___^

#Semoga menjadi alumni University of Ramadhan yang terbaik!! 
InsyaAllah, sama-sama doakan..

Wednesday, 6 June 2012

Rahsia Allah

Menyusuri perjalanan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai rintangan dan halangan yang mendatang. Mehnah, kesulitan, dan tribulasi yang dihadapi pasti tidak akan bertemu dengan pengakhiran yang baik sekiranya kita sebagai orang Mukmin tiada niat yang ikhlas untuk mencari keredhaan Allah SWT.


Apabila berbicara soal keikhlasan, tiada siapa yang mengetahui akan bentuknya, saiznya, dan rupanya. Sering juga kita mendengar bahawa ikhlas itu seperti seekor semut hitam yang berjalan di atas batu yang hitam pada malam hari yang gelap. Wajib kita tak nampak semut itu kan ^_^

Keikhlasan itu adalah satu sifat yang dipuji oleh syarak. Amalan ibadah yang dilakukan orang Mukmin hanya akan diterima Allah berdasarkan keikhlasannya dalam melaksanakan ibadah tersebut. Sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT :

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ‌ۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ 
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.
(al-Bayyinah : 5)

Meneliti ayat ini, Allah telah menegaskan bahawa Dia tidak akan menerima ibadat hamba-hambaNya melainkan ibadat yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata mencari keredhaanNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain.

Kita fikirkan sejenak, sirah Rasulullah SAW yang menekankan tentang keikhlasan, apabila Rasulullah SAW bersama umat Islam hendak berhijrah ke Madinah, terdapat orang-orang Islam yang berhijrah kerana ingin mencari kehidupan dunia dan perempuan yang ingin dikahwininya, bukannya mencari keredhaan Allah SWT.

Justeru, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa mereka hanya mendapat apa yang mereka hajati. Jelas di sini bahawa orang-orang Mukmin yang memperoleh kejayaan adalah mereka yang beramal dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Taala. Dari sirah ini, kita dapat hanya hamba yang dikasihi Allah yang akan diberikan sifat ikhlas di dalam hatinya. Ana masih ingat lagi apa yang diperkatakan oleh Dr. Roud dalam kuliah Aqidah Islamiyah 1(pensyarah yang paling ana sayangi dan kasihi^^,) tentang definisi ikhlas itu. Beliau berkata ikhlas ialah suatu rahsia yang dicampakkan Allah ke dalam hati abidNya yang mukmin dan yang dikasihi, sehinggakan para malaikat mahupun syaitan tidak dapat melihat akan ikhlas itu. ~Ikhlas itu antara si hamba dan Sang Khaliq.

Terfikirkah kita, adakah kita tergolong dalam kalangan hamba yang dikasihi Allah? Tidak dapat tidak, keikhlasan adalah satu sifat yang pastinya tidak dapat dinilai oleh manusia kerana keikhlasan itu bukannya boleh diukur dari pandangan zahir, ikhlas hanya dapat dinilai oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW di dalam hadis qudsi yang bermaksud : "Firman Allah Taala, ikhlas itu suatu rahsia daripada rahsia-rahsiaku yang dicampakkannya(ikhlas) dalam hati hamba yang Aku kasihi."

Benarlah, apa yang tersimpan di dalam hati kita, Allah tetap mengetahuinya sama ada kita benar-benar ikhlas mencari keredhaanNya atau sebaliknya bertepatan dengan firman Allah Taala :

قُلۡ إِن تُخۡفُواْ مَا فِى صُدُورِڪُمۡ أَوۡ تُبۡدُوهُ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُ‌ۗ وَيَعۡلَمُ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَمَا فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(al-Imran : 29)

Apabila disoroti kembali tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu Allah, kita melangkah untuk mencari secebis ilmu daripada ilmu-ilmu Allah yang luas ini, sedarkah niat kita yang sebenar, sama ada benar-benar ikhlas mencari keredhaan Allah atau kita telah lalai dan tersasar daripada niat yang sebenar? Buka minda, tanyalah iman. Apabila tiada keikhlasan dalam menuntut ilmu Allah ini, tidak mustahil jika ilmu yang dipelajari tidak dapat dimanfaatkan baik untuk diri kita mahupun orang lain. Maka sia-sia sajalah masa dan wang yang telah kita habiskan untuk menuntut ilmu ini yang mana tidak mendatangkan sebarang manfaat pada diri kita sedikit pun.

Tujuan kita menuntut ilmu mungkin tidak jelas, kemungkinan kita dipaksa oleh ibu bapa untuk teruskan belajar, atau sekadar mengikut sahabat karib, atau takut diperkatakan oleh masyarakat(malu agaknya) dan sebagainya. Dan tatkala itu apabila kita melakukan sesuatu kerana makhluk bukan lillahi taala maka kita akan ketemui kekecewaan dan kesedihan di penghujungnya. Kemungkinan kejayaan yang dikecapi itu hanyalah untuk mendapat pujian makhluk semata-mata dan percayalah ia hanyalah sementara sahaja. Dan kegagalan yang dibebani pada pundak kita juga akan kita galasi seorang diri, menjadikankan kita mudah tewas saat diri ini tidak lagi dihargai ,merasakan diri seperti melukut ditepi gantang. Kita lupa ada yang sentiasa menemani kita sepanjang masa, setiap detik, Dia sentiasa berjaga dan tidak tidur. Dialah Pencipta kita. Pabila kita sandarkan segalanya pada yang Maha Mendengar dan cuba ikhlaskan hati dalam melakukan sesuatu tanpa mengharapkan imbalan daripada makhluk, hati ini akan sentiasa berada dalam ketenangan. Sungguh ajaib orang Mukmin itu, apabila dikurniakan nikmat dia bersyukur dan apabila ditimpa musibah dia bersabar. Matlamat perlu jelas dan nyata, barulah hidup ini bererti dan bermakna.



Ya Allah, jadikanlah kami ini tergolong dalam kalangan hamba-hambaMu yang ikhlas berjuang dalam menegakkan kalimah tauhidMu dan juga ikhlas dalam menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW di atas dunia yang sementara ini..Ameen..
InsyaALLAH..Allah maak..